Followers ku...

Ahad, 2009 Oktober 25

Dugaan Orang Beriman...Adakah kita terg0l0ng Diantara Mereka..



Setiap kali kita berbicara berkenaan dengan dugaan orang yang beriman, kita seringkali diberitahu dugaan orang yang beriman cukup berat. Lalu kita diberikan contoh-contoh dugaan yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat baginda. Kita ditanamkan terus dengan cerita-cerita bahawa alim ulama sebelum kita terpaksa bersusah payah menghadapi dugaan mereka.

Cerita-cerita dugaan orang yang beriman ini sedikit sebanyak menanamkan satu persepsi di dalam fikiran kita bahawa kita juga pasti akan diduga dengan dugaan yang berat jika kita ingin menjadi orang yang beriman. Tidak kurang juga ramai yang tidak mahu beriman kerana bimbang dengan dugaan yang berat yang bakal menimpa.
Kesilapan bertahun-tahun di atas persepsi ini membuatkan beriman itu seolah-olah menyusahkan iaitu pasti akan menempuh dugaan yang besar. Namun realiti dan hakikatnya tidak begitu.

Kita terlupa atau tidak sedar bahawa sebenarnya kehidupan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda cukup bahagia dan tenang. Baginda dan sahabat tidak pernah mengeluh dengan semua dugaan yang dihadapi kerana keyakinan kepada Allah SWT cukup kuat dan kukuh.

Persepsi yang selalu dikatakan hanyalah persepsi kepada yang melihat. Kita melihat dugaan orang yang beriman adalah cukup hebat dan berat. Tetapi bagi orang yang beriman itu, hakikatnya mereka menghadapi dugaan dengan cukup tenang dan dugaan itu tidak langsung memberikan apa-apa masalah dalam kehidupan mereka.

Seharusnya kita melihat hal ini dari persepsi orang yang beriman itu sendiri. Maka sebenarnya dugaan yang dihadapi oleh orang yang beriman itu sebenarnya hanyalah kecil atau langsung tidak dinamakan dugaan bagi orang yang beriman itu. Semuanya adalah ketentuan Allah SWT yang kita perlu lalui dengan berserah, pasrah dan redha.
Maka tidak perlulah kita bimbang dengan dugaan yang datang apabila setiap hari kita ingin berada dekat dengan Allah SWT. Semakin kita hampir dengan Allah SWT, semakin kukuh keyakinan kita kepada ketentuan Allah SWT. Kita akan berasa semakin ringan dugaan yang menimpa walaupun mereka yang melihat dugaan yang kita hadapi merupakan dugaan yang besar.

Semoga setiap saat, iman kita semakin bertambah. Amin

Isnin, 2009 Oktober 12

Jangan kau Tangisi Apa yang Bukan Milik-Mu



Semasa tidur tengahari tadi selepas solat zohor dengan izin Allah SWT saya telah bermimpi…

Saya bermimpi menjaga seorang wanita yang cantik, wanita itu ingin menyalin pakaian dan mandi di sebuah tandas yang usang. Saya berdiri di hadapan pintu masuk dan menjaga tandas itu agar tiada lelaki yang dapat memasukinya atau mengintip wanita itu mandi. Bahkan saya sendiri tidak memandang wanita itu sebaliknya begitu cermat dan berhati-hati mengawal tandas tersebut.

Berpusing-pusing mengelilingi tandas yang usang dan mengawal dengan setia.

Saya menjadi pengawal yang sangat berdedikasi kerana inginkan kebaikan kepada wanita itu.

Malangnya saya diherdik dari dalam, dituduh oleh wanita itu kononnya saya mahu menghendapnya, mahu mengintipnya dan menyuruh saya supaya pergi.

Terdengar suara yang menyakitkan dengan tuduhan yang pelbagai.

Namun saya tabah dan setia mengawalnya kerana saya berpendapat saya telah jatuh hati kepadanya dan mahu mengawal demi untuk kebaikannya.

Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang kacak dan bergaya moden, menerjah masuk ke dalam tandas tersebut daripada pintu belakang dan berjalan menuju ke ruangan mandi wanita tersebut, sambil bersandar di dinding menghadap wanita tersebut maka lelaki itu pun kemudian berborak mesra dan bertegur sapa dengan wanita itu.

Mereka berbual mesra seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Melihat keadaan yang berlaku saya segera menjadi sedih, benci dan geram yang tidak terhingga lalu berjalan keluar meninggalkan wanita tersebut dan tandas yang usang itu.

Sebelum terjaga maka saya terdengar sebuah suara yang menegur saya dengan mengatakan:

“Janganlah bersedih atau runsing dengan sesuatu yang bukan milikmu.”


Saudara/i yang dihormati sekalian,

Kita hanyalah disuruh berusaha bukan mengharap hasil balasan atas apa yang diusahakan di dunia kerana akhiratlah nanti baru merupakan hari pembalasan bukan sekarang ini di dunia.

Di dalam kehidupan ini kita sering menghadapi kekecewaan apabila kebaikan yang dilakukan tidak mendapat balasan yang setimpal.

Namun apabila kita sedar bahawa dunia ini bukanlah milik kita dan setiap sesuatu yang wujud di sisi kita hanyalah sebagai pinjaman yang sementara yang akan kita tinggalkan maka dengan izin Allah kita akan mampu untuk berasa tenang dan merasai bahagia.

Daripada Ibnu Umar ra yang menyebut bahawa rasulullah pernah memegang bahunya lalu bersabda : “Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau pengembara.” Lalu Ibnu Umar berkata : “Jika engkau di waktu petang maka janganlah engkau menunggu sehingga waktu pagi dan jika engkau di waktu pagi maka janganlah menunggu waktu petang tetapi pergunakanlah waktu sihatmu sebelum kamu menjadi sakit dan waktu hidupmu sebelum kamu mati.”( Hadis riwayat Bukhari)

Kewajipan kita tersangatlah banyak, sedangkan masa kita pula adalah tersangat terhad maka oleh kerana itu janganlah kita membuang masa, waktu dan tenaga untuk bersedih kepada sesuatu yang bukan milik kita dan tidak pula menjadi beban tanggungjawab kita.

Kurangkanlah beban di dalam hidup.

Sebaik-baik perkara di dalam Islam ialah meninggalkan apa yang tidak perlu untuk bekalan kita di hari akhirat. Sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dari riwayat Abu Hurairah ra yang bermaksud : “ Sebaik-baik perkara di dalam Islam ialah seseorang itu meninggalkan apa yang tidak perlu baginya.” (Hadis hasan, riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Cinta yang melalaikan, kasih yang menghampakan, rindu yang tidak berbalas serta pelbagai lagi punca kesedihan hati hendaklah dihapuskan oleh kesibukkan beramal, kerja gigih dan usaha yang berlipat kali ganda untuk mengumpul bekal dan amalan bagi menghadapi kedahsyatan hari akhirat.

Firman Allah SWT : “Pada hari itu (Hari Kiamat) Seseorang itu akan lari daripada saudaranya, ibu serta bapanya, isteri serta anak-anaknya. Kerana tiap-tiap seorang daripada mereka itu pada hari tersebut akan disibukkan dengan urusan dirinya sendiri sahaja.” (Surah Abasa : 33-37)

p/s :

Nasihat ini ditujukan untuk mereka yang selalu mengadu kesedihan di atas kejadian-kejadian yang pelbagai,termasuk lah diri saya sendiri yang meluah kan apa yang saya rasa kepada seorang sahabat yang dipercayaai Abaikanlah rasa hati dan kata orang yang mencaci jika kita ingin bahagia dan mencari redha Ilahi kerana jalan menuju-Nya tidak sunyi dari celaan dan dugaan.

Selasa, 2009 September 29

Pertolongan yang tidak disangka-sangka



Tanpa kita ketahui, sebenarnya pertolongan Allah itu sering sahaja berlaku secara tiba-tiba dan tidak disangka-sangka. Bagi yang sentiasa meletakkan diri dalam keindahan tawakkal kepadaNya (tawakkal'alallah), saat pertolongan& bantuan Allah itu pasti lahir, jiwanya sentiasa dirundung rasa keinsafan. Lidahnya tidak henti-henti mengucapkan rasa syukur sehinggakan air matanya turut sama menyatakan rasa terima kasih tidak terhingga kerana masih mendapat pandangan kasih Rabb-nya. Lantas, amalnya diperhebat kerana dalam diri tersemat indah rasa kehambaan kecintaan pada ilahi. Keimanannya bahawa dengan mengingati Allah dikala senang, pasti mendapat perhatian Allah di kala susah semakin menebal. Alangkah indahnya saat jiwa berada dalam dakapan iman!

Bagi jiwa yang sakit(it doesn't mean sick,its full of hatred), pasti pertolongan yang hadir itu dirasakan dengan berkat usahanya sendiri dengan menafikan bahawa tiap-tiap yang berlaku itu hanya terjadi dengan izin Dia Yang Maha Berkuasa. Inilah realiti kehidupan yang terjadi pada umat baginda rasul, Muhammad s.a.w yang diuji dengan pangkat dan harta kekayaan. Begitu juga dengan konteks pelajar yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang. Masih wujud sebilangan besar pelajar yang terlupa untuk mensyukuri nikmat kejayaan yang diberikan Tuhan kepada mereka. Mengapa hal ini terjadi, berbalik kepada jawapan yang sama. Kerana lunturnya rasa dan jiwa kehambaan. Disebabkan perkara ini, kita sebagai rakan kepada sahabat- sahabat seharusnya mencari kelemahan masing-masing dan memperbaiki kekurangan yang ada pada diri dan jiwa hendaknya sementara iman dipertingkat untuk merasai nikmat iman itu sendiri.

Justeru, bagi orang-orang yang beriman, jangan pernah dirisaukan dengan perihal balasan Allah s.w.t kepada mereka ini. Sesungguhnya kurnia Allah sangat luas. Masakan Allah tidak mengetahui penat lelah hamba-hambanYa yang soleh? Sehinggakan dunia dan seluruh isinya tidak layak diberikan sebagai ganjaran kepada mereka. Yang menanti pasti singgahsana nan indah di syurga kelak. Jangan pernah membiarkan disease ujub, riak dan takabbur merebak di hati. Juga jangan pernah menyesal andai segala apa yang kita kecapi tidak kita perolehi. Tiada satu makhluk pun yang bisa menandingi kehebatan dan kekuasaan Allah s.w.t. Pasti, bagi mereka yang terlibat di dalam jalan dakwah ini, persoalan mengenai himpitan-himpitan masalah menebal di benak fikiran kamu. Barangkali pernah juga terlintas " Benarkah apa yang saya lakukan ini? Jika Allah meredhai apa yang saya lakukan, masakan saya diuji sebegini rupa?" BTW, what are u thinking?? Ingatlah, berjuang memang pahit dan menyakitkan! Kerana kelak balasan di syurga itu manis. Masakan, adakah jalanan perjuangan dihampar permaidani merah? Bersyukurlah bagi mereka yang diuji dengan kesusahan sedangkan ujian berupa kesenangan itu sememangnya lebih payah.

Oleh itu, nilailah kembali betapa kita ini sebenarnya mampu mengecapi nikmat kehidupan hanya dengan izin Dia Yang Maha Berkuasa. Beristighfarlah dengan ibu segala istighfar andai pernah terdetik di dalam hati rasa 'ujub,riak dan takabbur. Mudah-mudahan redha Allah bersama kita..

Allahumma irhamna bil Quran, Waj'alhu lana imaman wa nuran wa hudan wa rahmah. Allahumma zakkirna minhuma nasina wa 'allimna minhuma jahilna, waj'al hulana hujjatan ya Rabbal'Alamin..

Ya Allah kasihanilah kami dengan Al-Quran, jadikanlah ia imam, cahaya dan rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami ketika lupa serta bimbinglah kami ketika kami tidak mengetahui serta jadikanlah Al-Quran itu hujjah bagi kami..

Wallahu'alam...